Wednesday, January 9, 2019

Kurang pelanggan, restoran bogel pertama di Paris akhirnya gulung tikar

Pelanggan perlu menanggalkan semua pakaian sebelum menikmati hidangan. - Facebook @O'Naturel

PARIS: Restoran tanpa pakaian (nudist restaurant) pertama di kota Paris akhirnya terpaksa menghentikan perniagaan akibat kekurangan pelanggan.

O'Naturel akan membuka pintunya buat kali terakhir pada 16 Februari, menurut laporan Daily Mail.

"Kami mengharapkan anda dapat menyokong dan membantu kami dengan hadir beramai-ramai pada bulan Januari dan awal Februari 2019," umum pengurusan restoran itu menerusi Facebook.

"Kami hanya akan mengenang kenangan-kenangan indah, bertemu dengan ramai pelanggan dan pelanggan yang gembira dapat berkongsi momen yang luar biasa," kata pemilik restoran itu, Michael dan Stephanie Saada.

Restoran yang dibuka pada November 2017 itu mengenakan syarat iaitu pelanggan perlu menanggalkan pakaian di sebuah bilik, sebelum dibawa masuk ke bahagian restoran dan dihidangkan makanan.

Untuk tujuan kebersihan, semua meja dan kerusi dilapik dengan kain hitam yang akan dibersihkan setiap kali pelanggan beredar.

Bagaimanapun, kesemua pelayan termasuk pemilik restoran, berpakaian lengkap.

Restoran itu menyediakan hidangan mewah bistro Perancis berharga sekitar €49 (RM230).

Ini bukan kali pertama restoran seumpama ini berhadapan masalah yang sama. Sebuah restoran di London, dilaporkan terpaksa membuat kutipan dana untuk kekal beroperasi.

No comments:

Post a Comment