PETALING JAYA: Bagi mereka yang gemar mengembara, rakan peneman sudah tentu dipilih daripada kalangan sahabat rapat atau ‘sekepala’ agar percutian yang dinikmati lebih seronok.
Berlainan dengan seorang bapa, Mohd Faizil Muhamad, 33, yang selesa membawa anaknya yang berusia tiga tahun, Muhammad Zayyan Nafis sebagai peneman dirinya untuk mengembara selama 24 hari ke Vietnam pada Julai lalu.
Kata Mohd Faizil, dia tidak membuat perancangan terperinci sebelum berkelana ala ‘backpacker’ bersama anaknya itu kerana ingin meneroka setiap destinasi menarik yang terdapat di negara tersebut.
“Saya memang suka bawa Ayyan (Muhammad Zayyan Nafis) mengembara cara macam ni. Kalau ajak kawan-kawan, tak ramai yang boleh ambil cuti selama itu.
“Isteri saya pula bekerja, jadi saya bawa anak untuk teman saya. Cuma, bila ‘travel’ dengan budak ni, kita yang kena ikut masa dia dan pastikan dia dapat masa tidur secukupnya,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.
Mohd Faizil dan anaknya sudah kali ketiga mengembara ala ‘backpacker’.
Mohd Faizil turut berkongsi tentang aktiviti yang dilakukan mereka berdua berserta gambar sepanjang percutian itu di akaun Facebooknya.
Menurut bapa kepada tiga anak lelaki itu, kembara tersebut bukanlah kali pertama dilakukannya secara berdua dengan anaknya itu.
Kata Mohd Faizil, sebelum ini dia pernah membawa Muhammad Zayyan Nafis mengembara ke Bangkok selama lima hari dengan menaiki kereta api ketika anaknya itu berusia 11 bulan.
Tambahnya, kali kedua pula mereka berdua mengembara selama 19 hari ke Osaka dan Tokyo iaitu sewaktu Muhammad Zayyan Nafis berusia setahun sembilan bulan.
Muhammad Zayyan Nafis bergambar bersama penduduk tempatan.
Bagi perunding kembara sepenuh masa di Gud Travel House itu, kelakuan anaknya yang tidak banyak meragam banyak melancarkan perjalanan mereka anak beranak dari utara ke selatan Vietnam.
“Saya hanya perlu sentiasa pastikan Ayyan berada di depan mata kerana takut dengan kes penculikan kanak-kanak.
“Perjalanan kali ini memang lancar, cuma kenangan yang tak boleh dilupakan apabila beg galas Ayyan yang mengandungi botol susu dan dua keping lampin pakai buang hilang pada hari kedua tiba di Vietnam.
“Jadi, nak tak nak, saya perlu beli botol susu baharu untuknya, lampin pula tiada masalah. Cuma hilang dua keping dan memang senang nak cari dekat sana,” ujar Mohd Faizil.
image: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/10/22/backpack-dengan-anak/~/media/cb34484dbdd34e1b9cbe6aa63104066c.ashx?la=en
Botol susu Muhammad Zayyan Nafis hilang pada hari kedua mereka tiba di Vietnam.
Jelas bekas jurugambar itu, dia membawa bekalan sebanyak lima pek susu minuman kanak-kanak untuk dibancuh sepanjang perjalanan mereka di negara tersebut.
Tambahnya, cabaran lain yang dihadapi mereka adalah apabila terdapat tempat penginapan yang tidak menerima tetamu kanak-kanak di premis tersebut.
Sebagai penyelesaian, Mohd Faizil terpaksa mencari bilik persendirian untuk mereka berdua.
Menurutnya, kos keseluruhan pengembaraan tersebut termasuk tiket penerbangan pergi dan balik hanya sebanyak RM2,800.
SUMBER : MSTAR ONLINE
No comments:
Post a Comment