Wednesday, July 19, 2017

KARIES GIGI SUSU BUKAN MAIN-MAIN


Seorang ibu membawa anak kecil berusia 5 tahun dengan keadaan muka sebelah kirinya membengkak. Bengkak daripada atas bibir sehingga bahagian bawah mata. Bengkak kemerahan itu menyebabkan mata kiri hanya boleh dibuka separuh dan mulutnakan sakit ketika membuka.
Pemeriksaan kita dapati banyak gigi dalam mulut budak kecil ini sudah rosak. Gusi atas sebelah kiri juga membengkak, menyukarkan laluan jari pada sulkus (sulcus obliteration). Seperti biasa, pemeriksaan sebegini pasti akan diiringi tangisan dan jeritan.
Keadaan budak ini terlalu lemah dek kerana kesukaran membuka mulut menyebabkan adik ini tidak dapat makan dengan betul. Tidak cukup nutrien entah untuk berapa lama. Kerana untuk mendapat bengkak besar begitu bukan semalaman. Tertanya juga kenapa dibiar besar begitu baru datang cati rawatan?




Kanak-kanak ini perlukan rawatan segera. Dia dimasukkan ke dalam wad, dimasukkam air melalui saluran vena dan diberikan antibiotik. Belum apa-apa, di ibu sudah mula risau berapa lama perlu tinggal di wad. Ubat diberi berkesan dan bengkak mulai surut. Dia boleh membuka mulut dengan lebih baik dan kita galakkan adik ini untuk makan.
Setelah berbincang dengan pakar pergigian kanak-kanak, dan disebabkan faktor logistik dan geografi, rancangan rawatan untuk adik ini ialah mencabut semua gigi yang rosak dalam keadaan separa sedar (dental clearance under sedation). Prosedur bius separa sedar akan diselia oleh pegawai perubatan bertauliah.
Walaupun sudah dibius separa sedar, suntikan bius tetap perlu diberikan pada kawasan untuk mencabut gigi. Sebanyak 4 batang gigi dicabut sekaligus dalam sesi ini. Setelah adik ini sedar, tiada pendarahan pada gusi lagi dan boleh menjamu selera, kita benarkan mereka pulang. Kita berikan peringatan juga kemungkinan besar gigi bawah juga ada potensi menyebabkan bengkak.
Nak dijadikan cerita, sebulan kemudian mereka datang lagi kerana bengkak bahagian bawah pula. Lalu proses sama kita ulang. Sungguh menyeksakan buat budak kecil ini menanggung bengkak muka buat kali kedua. Dan sesi ini, 6 lagi gigi kita cabut.
Sebab itulah gigi walaupun gigi susu hendaklah kita jaga. Ibu bapa jangnlah leka dan abaikan. Kasihanilah anak masing-masing. Jangan perlekeh "gigi susu sahaja, tak apalah."


Ini nasihat untuk dibawa pulang:
1. Jangan biarkan anak anda tertidur dengan botol mengandungi susu atau air manisan.
2. Bersihkan mulut bayi selepas meminum susu dengan menggunakan kain lembap yang dibalut pada jari manis anda dan digosok pada gigi dan gusi bayi untuk membuang sisa susu.
3. Kurangkan penggunaan botol susu secara berperingkat. Galakkan minum menggunakan cawan atau sudu seawal usianya 6 bulan.
4. Bilas mulut anak anda dengan menggalakkan meminum air kosong selepas menghabiskan susu.
5. Elakkan memasukkan gula ke dalam susu anak anda.
6. Ibu bapa digalakkan memberus gigi anak-anak berusia di bawah 6 tahun.
7. Bawa anak untuk pereriksaan gigi di klinik gigi setiap 6 bulan.

Sumber - Dr. Muhamad Iqbal.
Prihatin..



No comments:

Post a Comment