Mohd Riduwan (kiri) ketika menerima sijil kursus urutan daripada Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri, Mohamad Ali Taib dalam majlis konvokesyen sijil urutan yang diadakan di Dewan Nur, Jalan Joned, tahun lalu.
Mohd Riduwan Abdul Rahman, 40, seorang orang kelainan upaya (OKU) lembam yang bekerja sebagai tukang urut di sebuah hospital dan pada masa yang sama mengambil upah mengurut untuk menambah pendapatan.
Meskipun dikategorikan sebagai OKU, itu tidak menjadi penghalang buat Mohd Riduwan mencari ruang dan kelebihan yang ada bagi memajukan dirinya.
Malah dia juga bijak membahagikan masa melakukan dua perkerjaannya di hospital dan juga sebagai tukang urut upahan.
Mohd Riduwan berkata, dia memanfaatkan kemahiran dimilikinya bagi menambah pendapatannya.
Namun begitu, menjadi tukang urut berstatus OKU lembam menyebabkan sering ditipu oleh pelanggan.
"Saya sering ditipu selepas memberikan perkihdmatan apabila ada pelanggan yang menindas. Ada yang hanya bayar RM5, ada bayar RM1, malah ada yang tak bayar lansung.
"Sebab keadaan diri saya ini, mereka ambil kesempatan. Pelbagai pengalaman saya tempuhi seperti ditipu dari segi bayaran dan tempahan.
"Sedangkan mereka dah janji nak datang untuk gunakan khidmat kita, tapi bila kita tunggu mereka tak muncul. Walhal temu janji bersama pelanggan lain dah pun ditolak," katanya.
Menurut Mohd Riduwan, perkhidmatan urut yang dilakukannya itu bukan sahaja meliputi kawasan Muar dan Tangkak , malah turut mendapat tempahan sehingga Johor Bahru serta Kuala Lumpur.
"Ada pernah beberapa kali saya dah sampai ke sana dengan menaiki bas untuk mengurut, tapi ditipu. Ada yang tak bayar dan ada juga yang tak datang untuk ambil saya di tempat yang janjikan.
"Bagaimanapun, saya akui masih ada masyarakat yang bermurah hati dan kasihan melihat saya. Setiap servis, saya akan caj RM40 dan harga itu masih boleh dikurangkan , namun ada segelintir individu akan bayar lebih daripada bayaran yang dikenakan," katanya.
Katanya, terdapat segelintir pelanggan yang mempertikaikan teknik urutannya dan menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk membayar murah lebih dari jumlah yang sepatutnya.
"Saya akui teknik urutan ini semula jadi dan saya tak belajar daripada sesiapa. Namun ada yang pertikai, ada cakap servis saya tak wajar dibayar penuh.
"Kerana sedih dan sering dianggap sebagai tukang urut tidak bertauliah, saya akhirnya tergerak hati untuk menyertai kursus urutan ini bertujuan memantapkan lagi teknik saya," ujarnya.
Mohd Riduwan telah menamatkan latihan kursusnya di bawah program GiatMara pada Disember tahun lalu dan dia berasa bersyukur kerana sepanjang mengikuti kelas yang disediakan, tenaga pengajarnya, Norlela Rubani banyak memberi semangat dan tunjuk ajar cara menangani pelanggan yang tidak jujur.
“Kini saya dah boleh tangani ragam pelanggan sekiranya mereka cuba tindas saya. Malah, saya juga meletakkan kadar bayaran yang sepadan kerana bagi pelanggan yang cuba ambil kesempatan, mereka dah tiada alasan untuk memperlekehkan teknik urutan saya yang kononnya tak mahir,” akhirnya.
Sumber - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment