ALOR SETAR – Memproses tepung untuk adunan roti canai di atas ruang penutup tangki kumbahan, sementara minyak untuk menggoreng sudah dua hari tidak bertukar.
Tindakan jijik sebuah restoran nasi kandar di Alor Setar mengundang padah apabila premis itu diarah tutup serta merta selama dua minggu, bermula hari ini, dalam pemeriksaan mengejut Ops Kandar.
Operasi tersebut dijalankan sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) bersama beberapa agensi berkaitan.
Ketika serbuan dilakukan ke premis tersebut, pekerja restoran sedang menyiapkan makanan.
Memasuki bahagian belakang dapur, keadaan agak gelap dan nampak menjijikkan, dengan keadaan lantai dan dinding dibiarkan kotor dan berkulat.
Tempat membasuh pinggan juga terletak bersebelahan bahagian memproses ayam.
Ayam yang siap diproses diletakkan bersama rempah yang telah dikisar, namun masih kelihatan darah pada ayam yang didakwa sudah dicuci itu.
Selain premis itu, dua lagi premis yang diarah tutup selama 14 hari ialah restoran nasi kandar di Lebuhraya Darul Aman dan Jalan Lencong Barat, kerana pemilik premis berkenaan gagal memenuhi piawaian yang ditetapkan terutama dari segi kebersihan.
“Kita turun untuk kita nak tengok sejauh mana integriti pihak pengusaha terutama kedai mamak khususnya, di mana mereka banyak mempamerkan ayat-ayat suci al-Quran untuk meyakinkan pelanggan bahawa kaedah masak adalah mengikut cara Islam yang sebenar.
“Tapi bila kita tengok penggunaan dan bahan-bahan mentah dan cara (menjaga aspek) kebersihan di dalam premis, (keadaannya) sangat kotor dan tidak memuaskan,” ujar Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIK, Rosyadah Ramli.
Sepanjang tempoh 14 hari diberikan itu, semua premis diarahkan melakukan pembersihan dan penyucian sebelum penilaian semula ke atas semua tiga premis berkenaan dibuat.
Kesemua enam premis yang diperiksa diberikan notis dibawah pemantauan JAIK.
Sementara Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengeluarkan dua notis dan satu kompaun terhadap dua daripada enam restoran nasi kandar terbabit.
Sumber :- Awani
No comments:
Post a Comment