Friday, August 4, 2017

Kanak-kanak maut disengat lebih dari 60 tebuan



KOTA BHARU, KELANTAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II), Kota Bahru, selepas disengat lebih dari 60 ekor tebuan ketika bermain di halaman rumahnya, lapor Harian Metro.

Dalam kejadian di rumahnya di Kampung Benting Lintang, Jertih, kelmarin, mangsa, Muhammad Adrian Aiman Mohd Rosmin, 8, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Benting Lintang, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi tadi.

Bapanya, Mohd Rosmin Ong Bo Jit @ Hussin, 30, berkata, kejadian itu berlaku ketika anak sulungnya sedang bermain kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Sebelum itu, mangsa dikatakan bermain badminton berdekatan kawasan itu dan kemudian bermain dengan rakannya di dalam semak berhampiran.





"Kemudian dia bersama empat rakannya diserang tebuan yang bersarang di atas pokok di kawasan itu dan anak saya yang paling banyak kena sengat di seluruh badan.


"Berdasarkan kesan pada tubuhnya, dipercayai dia disengat lebih dari 60 ekor tebuan," katanya, memetik laporan dari portal Harian Metro.

Mangsa kemudian dihantar pulang ke rumah oleh anak saudaranya dengan motosikal pada jam 6.45 petang dalam keadaan yang lemah namun masih boleh bercakap.

Melihat keadaan mangsa yang teruk itu, Mohd Rosmin dan isteri, Nor Azah Hamid, 27, terus mengejarkannya ke Hospital Besut dengan kereta.

Menurut Rosmin, anaknya masih boleh bercakap ketika itu sehingga pihak hospital memasukkan tiub ke mulutnya pada jam 9 malam untuk memastikan dia tidur dan berehat.

"Memandangkan keadaannya yang agak teruk menyebabkan Muhammad Adrian kemudiannya dirujuk ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan lanjut.


"Selepas dirawat di hospital itu, keadaannya stabil. Bagaimanapun bermula jam 9 pagi tadi, anak saya jadi kritikal kerana buah pinggangnya sudah tidak berfungsi sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian," katanya.

Jenazah Muhammad Adrian telah selamat dikebumikan di Kampung Benting Lintang, petang tadi.

Sumber :- thereporter


No comments:

Post a Comment