Hari ini viral di negara jiran, kisah sedih seorang isteri yang menjaga suaminya, seorang pesakit kanser lidah hingga menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Arwah meninggal dunia pada tanggal Sabtu, 22/7/2017 lalu pada usia 29 tahun iaitu kira-kira seminggu selepas hari jadinya.
Menurut balunya, arwah Andre Kurnia Farid hanya mengadu mengalami ulser di dalam mulut, tapi setelah berlarutan selama tiga minggu, ujian mendapati ia kian parah dan positif kanser lidah.
Secara anatomi, lidah manusia terdiri kepada dua bahagian iaitu bahagian depan di dalam mulut dan bahagian pangkal di kerongkong leher.
Kanser lidah dapat berkembang pada kedua-dua bahagian ini tapi biasanya kanser di bahagian depan termasuk dalam kategori kanser mulut.
Alkohol dan tembakau dikenal pasti sebagai penyebab utama kanser lidah kerana kedua-duanya memiliki sifat karsinogenik atau mudah menyebarkan kanser.
Gejala
Sakit kerongkong yang berlarutan.
Timbul tompok-tompok putih atau merah, benjol atau ulser di dalam mulut yang sukar pulih.
Sakit semasa menelan.
Sering rasa kebas dalam mulut.
Pendarahan tanpa sebab pada lidah.
Kadang-kadang sakit telinga.
Sekiranya gejala ini berlarutan selama lebih tiga minggu, terutamanya bagi seorang perokok tegar atau selalu mengamalkan minuman keras, anda WAJIB membuat pemeriksaan segera di hospital.
Faktor
Rokok
Minuman keras (alkohol)
Human papillomavirus (HPV)
Kebersihan mulut yang rendah
Bagaimana kisah arwah Andre yang viral kerana dibunuh kanser lidah? Baca selengkapnya luahan si isteri (telah dialih bahasa) menerusi Facebook Rezy Selvia Dewi. Norzalina Mohd Alias
Selamat Jalan Suamiku
“Mii, ulser dalam mulut abbi ni buat hilang selera makan.” Sepulangnya dari kerja, suamiku menolak untuk makan walaupun terhidang lauk ayam kegemaran.
Setiap hari suami selalu mengeluh sakit ulser di atas lidahnya yang tak pernah sembuh. Sudah 2 minggu, tapi aku kurang menghiraukan keluhannya kerana fikir ia sekadar ulser biasa.
“Mii, tadi di pejabat ada medical checkup, ini hasilnya…” sambil menunjukkan selembar kertas hasil pemeriksaan. Aku ingat betul saat itu, bulan April 2016.
“Kesihatan abbi ada masalah, cuma kata doktor, abbi kurang nutrisi, abbi kurang gizi ni. Ummi sibuk sangat dengan Zuma, hehehe,” gurau suamiku saat itu.
Memang anak kami baru berusia 1 tahun, jadi sebagai ibu, akulah orang yang paling sibuk kerana anakku mulai aktif.
Aku memang terlalu sibuk, sampai tak sempat memerhatikan suami. Aku diam saja ketika dia merokok tanpa henti. Aku tak pernah marah.
Dan aku pun tak pernah tahu, apa makanan yang dimakannya di pejabat. Makanan sihatkah? Atau bukan? Itulah kesalahan terbesarku.
3 minggu kemudian, ulser di mulut suami masih lagi belum hilang. Malah katanya sampai sakit di kepala dan telinga.
“Abbi… esok periksa doktor ya, biar diberi ubat sepatutnya.” Suamiku pun mengangguk.
Keesokan harinya, pemeriksaan doktor mendapati dia hanya kurang makan sayur dan buah. Ubat yang dibekalkan pula hanya balm khas untuk disapu pada ulser.
“Kalau 2 minggu lagi belum sembuh, periksa lagi ya,” pesan doktor tersebut.
2 minggu kemudian, sakit ulser itu masih juga tak sembuh. Doktor hanya menambah antibiotik tapi sampai habis pun belum juga ada tanda-tanda sembuh.
Kali ini, dia dirujuk ke pakar bedah mulut dan pemeriksaan kali ini mendapati ia mungkin berpunca akibat masalah gigi bongsu.
“Oh, ulser di lidah ni sebab ada gigi bongsu, tapi posisinya abnormal. Mungkin itu sebabnya susah nak sembuh. Gigi ni mesti dibedah dan dibuang,” kata mereka.
Bulan Jun 2016, saat awal Ramadan, suamiku tak puasa kerana bakal menjalani pembedahan gigi. Maka dicabutlah gigi bongsu yang dikatakan. Tapi anehnya selepas seminggu berlalu, ulser masih lagi terasa dan sakit di kepala kian menjadi-jadi. Lidahnya pula tidak boleh digerakkan ke kiri.
Dari situ, dia bertemu pula pakar saraf dan seterusnya membuat fisioterapi lidah. Selepas enam kali terapi masih tiada perubahan, doktor mengesyorkan pemeriksaan MRI.
Hari Aidilfitri, suami lebih memilih tidur dan tidak mahu beraya dengan saudara mara. Sakit di kepalanya semakin kerap, jadi aku biarkan dia beristirahat saja di bilik.
“Mii, ada benjol kat lidah abbi, cuba tengok.”
Benar. Aku terlihat sebiji benjol kecil sebesar biji jagung pada lidahnya yang sakit. Kata doktor, benjolan ini mungkin seketul tumor dan sekali lagi dia perlu menjalani pembedahan membuangnya.
Tanggal 13 Ogos 2016, kami kembali menemui doktor untuk mengetahui hasil makmal terhadap benjol yang dibuang.
“Suami usianya berapa tahun?”
“28 doc.”
“Sudah ada anak?”
“Sudah, baru usia setahun doc.”
Doktor pun menghela nafas panjang. Ada perasaan tak enak saat itu.
“Hasil pemeriksaannya kurang bagus. Suami puan positif terkena kanser lidah.”
Masa itu seolah detak jantungku berhenti. “Kanser?”
Tiba-tiba mataku jadi gelap, sebuah beban serasa berat menindih badanku. Aku diam tanpa berkata apa-apa. “Kanser?” tanyaku.
Kutatap wajah suamiku, dia hanya terdiam. Pucat.
Seluruh pemeriksaan sudah kami lakukan – ujian makmal, USG, CT Scan, Bone Scan.
“Dari hasil pemeriksaan, 3/4 lidah suami puan sudah terkena kanser. Dia mesti dibedah untuk membuangnya,” kata doktor yang merawat.
Ya Allah… apa lagi ni? Dibuang lidah? Kenapa harus suamiku yang mengalaminya? Kami pun pulang dengan perasaan tak menentu, nanti kita periksa lagi ya bii, dapatkan second opinion.
Esoknya kami periksa lagi. Doktor melakukan endoskopi dari lubang hidung dan daripada kabel kecil kamera itu, terlihat jelas gambar di monitor.
“Wah, kansernya dah merebak ke kerongkong.”
Masa itu terlihat banyak benjolan merah berhampiran peti suara.
“Boleh tahu sudah stage berapa doc?”
“Stage 4 puan.”
“Terus… bagaimana?” tanyaku perlahan.
Kata doktor, suamiku perlu menjalani rawatan kemoterapi 3 kali dan radiasi selama 30 kali.
Wajah suamiku yang putih bertambah pucat. Dia hanya terdiam. Aku terbayang beratnya derita yang harus dialaminya kelak.
Awal September 2016, kami pulang ke kampung selepas suami mendapat cuti sakit sehingga sembuh.
Kami tekad mahu berikhtiar dengan cara alternatif dan herba. Masa itu suami cuma mampu menelan ubat yang direbus atau cecair.
Pada masa yang sama, aku disahkan hamil dan berita tersebut cukup menggembirakan kami berdua. Semangat suami kelihatan kembali semula.
5 bulan berubat, tapi Allah seperti belum memberi jalan kesembuhan. Kondisi suami semakin teruk. Lalu akhirnya kami tinggalkan rawatan tradisional.
Berat badan suamiku mula turun dengan drastik. Daripada 65kg kini tinggal 40kg. Dia makin tenat dan kemuncaknya setiap hari dia muntah darah. Mukanya lemas dan sangat pucat.
Selepas itu, kami kembali membuat segala rawatan moden. Kemoterapi dan radiasi, semuanya dicuba satu persatu tanpa henti. Dalam pada itu juga, aku selamat melahirkan anak kedua kami yang ditunggu-tunggu selama ini.
Tiada tanda-tanda sembuh sehinggalah menjelang hari terakhirnya di sisiku. Kuhampiri suami yang terbaring lemah. Tubuh badannya penuh dikeliling segala peralatan hospital dan wayar yang berselirat.
Waktu itu tekanan darahnya sangat tinggi, nadinya terlalu cepat hingga menunjukkan angka 200 di skrin monitor. Berkali-kali doktor menyuntik ubat anti sakit tapi suamiku masih mengeluh kesakitan.
Melihatkan keadaannya yang cukup mencemaskan, doktor menenangkanku sambil berkata suamiku sudah tak dapat ditolong lagi.
Seluruh badanku terasa gementar. “Benarkah tak ada lagi harapan,” tiba-tiba aku merasakan ketakutan yang luar biasa.
Aku berbisik ke telinganya, “Aku tak mahu kehilanganmu bii.” Kupegang erat jari-jemarinya. “Buka matamu bii,” dan aku ingat dia cuma tersenyum lemah.
Pukul 4 petang, doktor menghulurkan surat persetujuan. Di situ tertulis agar aku tidak akan mengambil apa-apa tindakan pun jika sebarang perkara berlaku pada suamiku.
“Abbi… inilah yang terbaik yang diberikan Allah buat kita. Maafkan ummi, tak bisa menjagamu selama ini. Ummi ikhlas abbi pergi. Ummi terima semua dengan ikhlas.”
Kubimbing suamiku menyebut kalimah Laaillaha illallah muhammadur Rasullullah… kuulang berkali-kali sampai tepat jam 4.40 petang, dia pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Tak ada lagi yang bergerak di sana. Kudakap kemas tubuh suamiku, kukucup bibirnya dan kuusap matanya… Inna lillaahi wainna ilaihi raajiun.
Selamat jalan suamiku. Jemput aku dan anak-anak kita di pintu syurga-Nya.
Kredit: Tribunnews via Nona.My
No comments:
Post a Comment